Noor Hidayah Tanzizi


LUMUT: Sindiket penyeludupan migran dikesan menawarkan 'kerja sampingan' kepada nelayan tempatan dengan membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, sindiket itu dikesan cuba menawarkan upah lumayan kepada nelayan dengan membawa masuk empat hingga lima individu.

Menurutnya, selain itu, turut dikesan ada nelayan asing cuba mendapatkan maklumat berkaitan kehadiran aset dan penugasan pihak berkuasa daripada nelayan tempatan.

"Cubaan itu dikesan pada tempoh PKP lalu terutama pada Ramadan dan APMM sudah menasihati komuniti nelayan serta persatuan nelayan terutama di Hutan Melintang mengenai perkara berkenaan.

"Dalam masa sama, kami juga menempatkan anggota dan aset di kawasan pelantar yang dikenal pasti bagi mengekang aktiviti itu," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Maritim Perak di Lumut, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, tiada kemasukan warga asing di perairan Perak hasil keberkesanan Op Benteng yang dijalankan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

"APMM akan terus mempergiatkan rondaan dan pemantauan terutama di tiga lokasi panas iaitu Hutan Melintang, Lekir dan Pantai Remis," katanya.

Shahrizan berkata, sepanjang tempoh PKP pada 18 Mac lalu hingga semalam pihaknya sudah mengusir 27 bot nelayan Indonesia yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara dan kawasan pertindihan.

NUR Syam berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara meluas terhadap tiga mangsa yang masih hilang dalam kejadian bot karam di Perairan Kemasin. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
NUR Syam berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara meluas terhadap tiga mangsa yang masih hilang dalam kejadian bot karam di Perairan Kemasin. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Katanya, tindakan pengusiran itu selaras dengan perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) yang sudah dipersetujui kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam aktiviti penangkapan ikan di kawasan pertindihan Malaysia dan Indonesia.

"Kes terbaru, APMM mengusir tiga bot nelayan Indonesia di kawasan pertindihan iaitu 24 batu nautika utara Pulau Jarak, Lumut antara 6 petang hingga 7.30 malam, semalam.

"Tiada penahanan dilakukan kerana kita tidak mahu mengambil risiko bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 kerana kita tidak tahu tahap kesihatan mereka," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut merampas peralatan menangkap ikan bernilai RM135,000 bagi memastikan bot nelayan asing berkenaan tidak memasuki perairan negara selepas tindakan pengusiran dibuat.

"Tindakan pengusiran ini penting kerana kita juga tidak mahu nelayan asing ini menjadi mata-mata kepada sindiket penyeludupan pati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 8:26 PM