Noor Hidayah Tanzizi


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menafikan dakwaan nelayan Indonesia yang mendakwa pihaknya menceroboh perairan negara itu, pada 21 Januari lalu.

Sebaliknya, Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, aktiviti penangkapan ikan itu berlaku di kedudukan kira-kira 25 batu nautika barat laut Pulau Jarak, Lumut, iaitu kawasan pertindihan antara Malaysia dan Indonesia.

Susulan itu, katanya, pihaknya mengusir 27 bot nelayan Indonesia yang menangkap ikan di kawasan berkenaan selepas rundingan dilakukan dengan tekong sebuah bot.

“Tindakan itu diambil mengikut perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) yang sudah dipersetujui antara kedua-dua negara.

“APMM sudah mengeluarkan arahan pengusiran sebelum pendekatan kedua diambil dengan menahan sebuah bot nelayan negara itu dan memanggil tekong bot menaiki KM Malawali untuk rundingan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Perak di sini, semalam.

Pada masa sama, Shahrizan berkata, pihaknya turut menafikan dakwaan APMM mengambil hasil laut mereka kerana KM Malawali tidak menaiki dan menggeledah bot nelayan asing berkenaan.

KEPTEN Maritim Shahrizan Raman menafikan dakwaan nelayan Indonesia yang mendakwa pihaknya menceroboh perairan negara itu. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
KEPTEN Maritim Shahrizan Raman menafikan dakwaan nelayan Indonesia yang mendakwa pihaknya menceroboh perairan negara itu. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI

Katanya, KM Mawali melakukan pendekatan mengikut perjanjian MoU yang dipersetujui kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam aktiviti penangkapan ikan di kawasan pertindihan Malaysia dan Indonesia berdasarkan perjanjian di bawah Artikel 2.

“Merujuk kepada Artikel 3, pendekatan yang perlu diambil agensi terbabit dalam kes luar jangka adalah agensi berkenaan perlu meminta nelayan yang dicurigai untuk meninggalkan kawasan yang disyaki melakukan kesalahan dan perlu dilakukan dengan membuat komunikasi secara terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrizan turut menolak dakwaan APMM menjadi punca penahanan tiga bot nelayan tempatan di kawasan pertindihan, bulan lalu.

Katanya, tiga bot berkenaan bersama 15 kru warga Thailand dan Indonesia yang berpangkalan di Bagan Panchor, Pulau Pangkor dan Hutan Melintang ditahan antara 8 hingga 25 Februari di kedudukan 30 batu nautika barat laut, Pulau Jarak.

“Sebuah bot nelayan tempatan bersama lima kru warga Thailand dari Bagan Panchor, Pantai Remis yang ditahan 25 Februari sudah dibebaskan dan diserahkan kepada KM Gagah pada 26 Februari lalu manakala dua lagi masih ditahan,” katanya.

Katanya, pihaknya turut merancang aset APMM keluar bersama nelayan tempatan yang menangkap ikan berhampiran kawasan pertindihan bagi mengelakkan daripada diganggu pihak berkuasa negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 7:20 PM