Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Dua bot nelayan Indonesia bersama 25 kru diusir keluar selepas dikesan menceroboh perairan negara di kedudukan 33 batu nautika barat laut Pulau Jarak dekat sini, semalam.

Tindakan pengusiran itu dilakukan Kapal Maritim (KM) Rawa milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sedang melaksanakan Op Benteng selepas mengesan bot berkenaan pada 11 pagi.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pengusiran itu turut dibantu pesawat udara Maritim AW139 yang juga dalam pengawasan udara Op Benteng di perairan Selat Melaka.

Menurutnya, dua bot itu dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan oleh KM Rawa yang kemudian memberi amaran kerana berada dalam perairan Malaysia dan mengarahkan berhenti melakukan aktiviti itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebuah bot pukat jerut dikendalikan 20 kru termasuk tekong dan sebuah lagi bot peranti dengan lima kru yang dan semua kru adalah warga Indonesia.

"Kedua-dua bot itu diusir keluar oleh KM Rawa dan pesawat udara Maritim AW139 secara membayangi sehingga ke sempadan perairan Malaysia - Indonesia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shahrizan berkata, pengusiran terhadap nelayan asing ini adalah tindakan semasa dalam mencegah penularan wabak Covid-19 khususnya melalui kes import yang dibawa oleh warga asing

Katanya, pihaknya akan terus meningkatkan pemantauan dan mengawal sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng Laut dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan jenayah rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2020 @ 2:09 PM
APMM mengusir dua bot nelayan Indonesia bersama 25 kru diusir keluar selepas dikesan menceroboh perairan negara di kedudukan 33 batu nautika barat laut Pulau Jarak, Lumut, semalam. FOTO IHSAN APMM
APMM mengusir dua bot nelayan Indonesia bersama 25 kru diusir keluar selepas dikesan menceroboh perairan negara di kedudukan 33 batu nautika barat laut Pulau Jarak, Lumut, semalam. FOTO IHSAN APMM