Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak mengenal pasti empat titik panas di kedudukan antara 30 hingga 50 batu nautika barat laut Pulau Jarak, di sini menjadi lokasi pencerobohan nelayan asing.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bagi mengekang pencerobohan, APMM menempatkan aset untuk penugasan operasi selama 24 jam di kawasan itu, selain pemantauan pesawat udara maritim dan Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA).

Menurutnya, bot benteng enam yang berkeupayaan bergerak dengan kelajuan 60 knot ditugaskan dan sentiasa bersedia di perairan negeri untuk tindakan pintasan dan penguatkuasaan.

"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu hingga kini, kami sudah mengusir 199 bot nelayan Indonesia yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara dan kawasan pertindihan.

"Dalam situasi semasa pandemik Covid-19 ketika ini, tindakan pengusiran diambil selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan wabak terutama melalui warga asing.

"Kita tidak tahu mereka mempunyai gejala atau tidak dengan situasi di negara mereka yang dikhuatiri berisiko, jadi kita meningkatkan operasi dan selepas keadaan kembali pulih tindakan tegas akan diambil seperti sebelum ini," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Maritim Perak di Lumut.

Shahrizan berkata, tindakan pengusiran akan dilakukan di kawasan pertindihan selaras dengan perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) yang sudah dipersetujui kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam aktiviti penangkapan ikan di kawasan pertindihan Malaysia dan Indonesia.

"Semua bot nelayan yang diusir itu adalah dari Belawan, Medan dan Tanjung Balai, Indonesia kerana lokasi yang lebih dekat dan keadaan cuaca baik menjadi faktor mereka masuk ke sini.

"Kita minta nelayan tempatan menyalurkan maklumat supaya nelayan asing tidak terus menceroboh perairan negara selain mereka juga dikhuatiri menjadi mata-mata aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.

Menurutnya, APPM juga ada cadangan untuk mempunyai pangkalan baharu bagi zon maritim Selatan Perak di Hutan Melintang bagi meningkatkan kawalan perairan negeri.

"Selain pangkalan utama di Lumut, APMM Perak mempunyai pangkalan di Kuala Kurau dan ketika ini penugasan aset dan pemantauan di darat di kawasan Hutan Melintang dari Lumut secara berkala," katanya.

Pada Jumaat lalu, APMM berjaya mengusir 40 bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan Pulau Jarak dan sebelum itu, APMM juga sudah mengusir empat bot nelayan Indonesia.

Keterangan gambar:

Pix: LUMUT 17 NOVEMBER 2020. Pengarah APMM Perak, Shahrizan Raman menunjukkan empat titik panas di kedudukan antara 30 hingga 50 batu nautika barat laut Pulau Jarak, Lumut yang menjadi lokasi pencerobohan nelayan asing. STR/NOOR HIDAYAH TANZIZI.

Tamat//

From: Hidayah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 10:09 AM