APMM) mengusir bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan 20.8 batu nautika barat laut Pulau Jarak, Lumut. FOTO ihsan APMM
APMM) mengusir bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan 20.8 batu nautika barat laut Pulau Jarak, Lumut. FOTO ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengusir sebuah bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan 20.8 batu nautika barat laut Pulau Jarak, di sini, kelmarin.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Rahman berkata, kehadiran bot asing itu dikesan pesawat udara APMM ketika rondaan dan pemantauan udara Op Benteng di perairan Selat Melaka pada 1.56 tengah hari.

Menurutnya, maklumat kemudian dimaklumkan kepada Kapal Maritim (KM) Gagah yang dalam penugasan operasi Op Benteng di Sektor 4 yang digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

"Tindakan pengusiran dilakukan secara membayangi (shadowing) bot nelayan Indonesia itu keluar dari perairan Malaysia.

"Pengusiran terhadap nelayan asing adalah tindakan semasa dalam mencegah dan mengekang penularan wabak Covid-19 khususnya melalui kes import dibawa warga asing," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, APMM akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng Laut dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan jenayah rentas sempadan.

Katanya, orang awam dan komuniti maritim di minta bekerjasama membanteras aktiviti jenayah dan kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat ke talian NTF 011- 6251 1123 atau Pusat Operasi Maritim Perak 05-6838737.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 7:57 PM