GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Jerman menyita empat kereta mewah model Bugatti Veyron di Munich, Jerman yang dikaitkan dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Media Jerman, Bild melaporkan kesemua kenderaan edisi khas itu dirampas dari sebuah kemudahan penyimpanan persendirian di Munich.

Kenderaan mewah itu dikatakan siri eksklusif yang hanya 18 dibina dalam siri berkenaan.

Empat kenderaan itu ialah Rembrandt edisi Veyron, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini dengan setiap kereta berharga lebih AS$3 juta (kira-kira RM14.3 juta).

"Kereta itu jarang dijual, dan biasanya tidak dijual di lelongan awam. Kereta berkenaan dikesan dan dirampas oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah 7, yang pakar dalam jenayah kolar putih," menurut Bild.

Skandal 1MDB membabitkan personaliti daripada ahli politik dan bank sehinggalah bintang Hollywood dan membawa kepada siasatan jenayah di beberapa negara.

Polis Munich bagaimanapun tidak mahu berkongsi sebarang butiran khusus mengenai kes yang sedang berjalan dengan Bild, yang memetik kebanyakan laporannya daripada sumber badan kehakiman Jerman.

Sementara itu, Harian Metro sedang mendapatkan kenyataan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rampasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 12:03 PM