Rashid Hasnon.
Rashid Hasnon.
Oleh Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Pihak polis sudah memanggil kesemua 15 individu yang terbabit dalam pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah kebun durian di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, turut dipanggil Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Katanya, Ahli Parlimen Batu Pahat itu datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada 3 petang kelmarin untuk memberi keterangan.

"Polis kini sedang melengkapkan siasatan serta merujuk kes berkenaan kepada Pejabat Pendakwa Raya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ismail berkata, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Media sebelum ini melaporkan polis membuka kertas siasatan terhadap Mohd Rashid yang didakwa melanggar SOP PKP susulan video 'kenduri durian' berdurasi 13 saat yang tular itu.

Malah Mohd Rashid turut memohon maaf atas kekhilafan berkenaan dan menyerahkan siasatan lanjut serta berjanji untuk memberikan kerjasama kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 3:15 PM