TERTUDUH di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
TERTUDUH di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


PEMANDU lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan merosakkan beberapa barangan di kedai runcit bapanya menggunakan cangkul mengakibatkan kerugian RM1,500.

Tertuduh, Mohd Shahrul Azwal Md Zain, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat terhadap kedai runcit milik Md Zain Hassan, 57, mengakibatkan kerugian RM1,500 di Kampung Air Lilih, Kuala Nerus, 4.30 petang pada 19 Mei lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat berdepan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Dalam kejadian itu, suspek datang ke kedai runcit bapanya dalam keadaan marah mengatakan ibu tirinya tidak menjaga bapanya yang menghidap strok dengan baik.

Wanita terbabit menafikan tuduhan itu menyebabkan suspek mengamuk lalu merosakkan barangan yang ada di kedai runcit menggunakan cangkul.

Bimbang keselamatan diri, pasangan itu melarikan diri sebelum satu laporan dibuat di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 4:18 PM