Tertuduh,Azwan Mohamad Tajudin, 25, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang jurujual. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Tertuduh,Azwan Mohamad Tajudin, 25, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang jurujual. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


PENGANGGUR mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang jurujual.

Tertuduh, Azwan Mohamad Tajudin, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 20 tahun di tepi jalan hadapan sebuah kedai di Batu Rakit, Kuala Nerus pada 10.40 malam, 12 Mei lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Mohd Hayyatuddin & Co.

Dalam kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya dikatakan dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya dengan menunggang motosikal.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dihampiri seorang lelaki tidak dikenali sebelum lelaki bertindak menghimpit motosikal dan merabanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 2:37 PM