TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas cubaan membunuh, khianat dan mencederakan seorang lelaki menggunakan kayu.

Tertuduh, Mohd Murad Che Razak, 36, membuat pengakuan itu sebelum mohon dibicarakan selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Murad didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Nawang Jusoh, 41, menggunakan kayu.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Mohd Murad yang memandu Honda CRV turut didakwa cuba membunuh Nawang dengan melanggar mangsa.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 307 KK itu, dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Murad turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 427 KK kerana melakukan khianat dengan merosakkan motosikal milik Mohd Hazali Jusoh, 39.

Semua kesalahan itu dilakukan di hadapan kedai makan di Kampung Pengadang Baru di sini, jam 5 petang pada 9 April lalu.

Nooriah kemudian menetapkan 31 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mazlan Md Zain.

Sementara itu, Nawang turut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan khianat kerana merosakkan kereta Honda CRV milik Norzahira Moktar@Mokhtar, 36, di lokasi sama.

Sejurus pengakuan bersalah Nawang direkodkan, Majistret Noor Mazrinie Mahmood menetapkan 31 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 3:10 PM