FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohamed Farid Noh


POLIS menahan 10 lelaki bagi membantu siasatan kes seorang remaja 17 tahun padah ditetak di pekan Kelapa Sawit, Kulai, Rabu lalu.

Semua suspek berusia 15 hingga 28 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan antara 4 petang Jumaat lalu hingga 4 pagi ini di sekitar Kulai.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 malam itu, mangsa cedera parah diserang sekumpulan lelaki dan kini masih dirawat di hospital.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian adalah berpunca untuk membalas dendam.

Katanya, kesemua 10 suspek direman tujuh hari sehingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Kita juga sedang menyiasat sama ada kes mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, Polis Johor sedang menyiasat pemilik akaun Facebook yang memfitnah beliau dan Timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin.

Katanya, pemilik akaun Facebook berkenaan menyiarkan sebuah video beliau bersama timbalannya, kononnya menerima wang sumbangan seorang wanita dan mendakwa bersekongkol berkaitan kes berkenaan.

"Kita sudah membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun Facebook berkenaan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan menimbulkan kegusaran awam," katanya.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 5:02 PM