Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my

Johor Bahru: Lelaki Rohingya yang dikenali sebagai Long Tiger akan didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak, pagi esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pendakwaan itu dilakukan selepas Timbalan Pendakwa Raya bersetuju meneruskan kes selepas meneliti kertas siasatan.

"Long Tiger akan didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak esok mengikut dua pertuduhan iaitu Seksyen 506 (mengugut) dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan (kurungan yang salah)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Pada 14 Julai lalu, media melaporkan polis menahan Long Tiger, 35, kerana disyaki melakukan kurungan salah di Muar, jam 9.45 malam pada 12 Julai lalu.

Ayob Khan dilaporkan berkata, ia membabitkan kesalahan mengurung bekas pekerjanya yang juga warga tempatan berusia 21 tahun dan dia ditahan reman selama empat hari bermula 13 hingga 16 Julai lalu.

DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Long Tiger dilaporkan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi termasuk memfitnah pegawai polis melalui sesi siaran langsung di Facebook.

Suspek pernah ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.

Bagaimanapun, Majistret Zuraidah Abu Bakar dalam prosiding di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dilaporkan membebaskannya selepas mendapati tiada justifikasi kukuh dikemukakan bagi menyambung tempoh tahanan reman terhadapnya.

Pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu kemudiannya ditahan semula bersabit kes pemerasan sebelum mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tangkak, 6 Mei tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 1:33 PM