Mohamed Farid Noh


SATU sindiket pengedaran dadah menggunakan aplikasi WeChat bagi mendapatkan pelanggan di sekitar Bandaraya Johor Bahru berjaya ditumpaskan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sindiket berkenaan didapati mempunyai kumpulan WeChat dengan keahlian seramai kira-kira 500 orang.

Katanya, aplikasi sembang sosial itu dipercayai digunakan kerana maklumat peribadi pengguna yang sukar dikesan pihak berkuasa.

"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melancarkan operasi khas sindiket dadah berkenaan hasil risikan dan maklumat awam sebelum menahan seorang lelaki dan seorang wanita bersama sejumlah dadah di bandar raya ini, Selasa lalu.

"Susulan tangkapan itu, polis melancarkan 11 serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, Seri Alam dan Iskandar Puteri.

"Ia membawa kepada penahanan 26 suspek warga tempatan serta empat warga asing berusia antara 16 hingga 39 tahun," katanya dalam sidang media di IPK Johor, hari ini.

Ayob Khan (dua dari kiri) melihat sindiket peredaran dadah dan wang yang dirampas. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Ayob Khan (dua dari kiri) melihat sindiket peredaran dadah dan wang yang dirampas. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Mengulas lanjut Ayob Khan berkata, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi membungkus dadah dalam paket minuman berwarna-warni bagi mengabui mata pihak berkuasa.

"Polis juga tidak menolak antara pelanggan sindiket berkenaan berkemungkinan terdiri daripada golongan muda termasuk pelajar, memandangkan aplikasi itu digunakan secara meluas oleh semua lapisan umur.

"Nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM454,215 dan menyita pelbagai barangan termasuk barang kemas, kenderaan dan wang tunai bernilai keseluruhan RM1.1 juta," katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, dalam masa sama pihaknya turut menjalankan satu operasi sindiket dadah berasingan di Muar, minggu lalu.

"Tangkapan pertama dibuat pada 5 Mei atau Selasa lalu membabitkan sepasang suami isteri, sebelum empat serbuan susulan yang dibuat turut menahan enam lagi suspek termasuk seorang warga asing.

"Nilai rampasan dadah dalam kes ini berjumlah RM21,045 manakala barangan sitaan berjumlah RM364,380. Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 24 hingga 54 tahun," katanya.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 4:34 PM