Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay hadir di pusat mengundi awal di Dewan Dato Onn Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini bagi menunaikan tanggungjawab mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri ( PRN) Johor.

Bekas Ketua Polis Johor itu tiba di Dewan Dato Onn IPK Johor, kira-kira jam 9.30 pagi sebelum keluar dari pusat mengundi awal lima minit kemudian.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin.

Sementara itu, Ayob Khan yang ditemui berkata, perjalanan proses mengundi awal di Dewan Dato Onm berjalan lancar, teratur dan tersusun tanpa sebarang masalah.

"Saya tidak sempat tukar alamat kerana memerlukan tempoh tiga bulan untuk menukar alamat tempat mengundi. Selepas ini saya akan tukar alamat," katanya.

Terdahulu, seawal jam 8 pagi, pegawai dan anggota polis berbaris di luar Dewan Dato Onn meskipun hujan bagi mengundi awal.

IPK Johor adalah pusat mengundi awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang dengan dua saluran dibuka.

Undi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membabitkan 11,576 pegawai dan anggota polis serta pasangan, manakala 10, 955 pula pegawai dan anggota tentera serta pasangan.

Setakat jam 10 pagi, sebanyak 26 peratus petugas barisan hadapan terdiri polis dan tentera serta pasangan sudah menunaikan tanggungjawab mengundi awal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 12:24 PM
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay, menunjukkan dakwat di jarinya selepas hadir bagi pengundian awal PRN Johor di Dewan Dato Onn, Ibu Pejabat Polis Johor Bahru. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay, menunjukkan dakwat di jarinya selepas hadir bagi pengundian awal PRN Johor di Dewan Dato Onn, Ibu Pejabat Polis Johor Bahru. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI