Mohamed Farid Noh

SINDIKET penipuan Macau Scam, pinjaman tak wujud, jual beli dalam talian dan pemberi pinjam wang tidak berlesen dikesan mengupah golongan gelandangan di Johor bagi membuka akaun bank.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, taktik digunakan sindiket dengan mengumpan bayaran antara RM100 hingga RM200 kepada golongan berkenaan terbongkar hasil Ops Mule yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

"Fokus utama kita dalam Ops Mule adalah bagi mengesan pemilik akaun bank yang bekerjasama dengan sindiket penipuan untuk mendapatkan komisen atas setiap akaun yang dibuka sindiket penipuan apatah lagi ia membabitkan nilai kerugian berjumlah RM17.11 juta.

"Polis Johor menjalankan dua siri operasi sejak 6 Januari hingga 7 Mac lalu serta 24 April hingga Ahad lalu dan berjaya menahan 440 suspek terdiri daripada pemilik akaun.

AYOB Khan pada sidang media IPK Johor.FOTO Mohd Azren Jamaludin
AYOB Khan pada sidang media IPK Johor.FOTO Mohd Azren Jamaludin

"Pemilik akaun akan menyerahkan kad ATM serta butiran akaun termasuk kata laluan perbankan internet kepada sindiket sama ada menerusi komunikasi laman sosial, mesej dan juga panggilan telefon sebelum ia digunakan bagi melakukan penipuan.

"Hasil siasatan mendapati, majoriti pemilik akaun yang diupah sindiket membabitkan golongan gelandangan, penagih dadah dan penganggur yang kesempitan wang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan Macau Scam, pinjaman tidak wujud, jual beli atas talian dan pemberi pinjam wang tidak berlesen boleh menghubungi Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254074.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 1:38 PM