GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


SEORANG Timbalan Ketua Polis Balai (TKPB) di daerah Muar, ditahan semalam kerana mencabul dua anggota sukarelawan polis wanita, antara Rabu hingga Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota berpangkat sarjan berusia 55 tahun itu akan direman bagi siasatan lanjut.

"Kes cabul membabitkan dua anggota sukarelawan polis wanita berlaku pada 6, 7 dan 8 Mei lalu.

"Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan jika ada asas untuk tuduh di mahkamah kita akan lakukannya.

"Saya tiada tolak ansur dalam kes sebegini, sesiapa yang ambil kesempatan terhadap anggota atau pegawai wanita akan dikenakan tindakan tegas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika suspek bertugas bersama kedua-dua mangsa di sebuah balai polis bergerak berikutan ditugaskan memantau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Muar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 4:03 PM