MARIANI di dapur rumahnya yang dinaiki air setinggi 0.1 meter. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
MARIANI di dapur rumahnya yang dinaiki air setinggi 0.1 meter. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Noor Hidayah Tanzizi


"PENAT membersihkan rumah masih belum hilang dan malam tadi air sudah naik semula," kata Mariani Abdul Rani, 49, penduduk Kampung Padang Serai, Pantai Remis di Manjung apabila rumahnya dinaiki air sejak semalam.

Mariani berkata, hujan lebat kira-kira 9 malam menyebabkan air parit di tepi rumah ibunya melimpah dan membanjiri halaman rumah mereka.

Menurutnya, sebelum ini air parit sudah membanjiri halaman rumahnya dan ibunya pada Isnin sebelum surut sepenuhnya, Jumaat lalu.

"Saya dan suami (Mat Kassim Jasak, 48) baru selesai bersihkan rumah semalam dan belum sampai 12 jam, air memenuhi halaman serta dapur rumah kami.

"Air naik setinggi 0.3 meter di halaman rumah manakala di bahagian dapur pula 0.1 meter, malah turut menyebabkan tandas tidak boleh digunakan," katanya.

Katanya, sepanjang Ramadan, ini adalah kali ketiga rumah mereka dinaiki air dan kali ini agak berbeza kerana bukan saja menyebabkan gatal, malah air banjir turut berbau busuk.

"Bagaimanapun, kami sekeluarga mengambil keputusan tidak berpindah kerana bahagian tengah rumah tidak dinaiki air, cuma di dapur saja begitu juga dengan rumah emak," katanya.

Katanya, kawasan rumahnya berada di kedudukan agak rendah terutama dapur menyebabkan kerap berlaku banjir kilat apabila hujan lebat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Manjung, Zulhisham Ahmad Shukori berkata, pihaknya akan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi kejadian banjir kilat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 5:05 PM