Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: "Hari ketujuh banjir saya jatuh terduduk di dapur dan ketika itu perasaan bercampur baur ada rasa geram, terkilan dan sedih kerana tiada jalan penyelesaian terbaik untuk masalah banjir yang kerap berlaku," kata Mariani Abdul Rani.

Mariani, 52, antara penduduk Kampung Padang Serai, Pantai Remis, di sini, yang halaman dan bahagian dalam rumahnya sering dinaiki air apabila hujan lebat.

Mariani berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sibuk mahu memasak kerana keadaan lantai licin dan berlumut disebabkan keladak dalam air yang sudah lama bertakung di dapurnya.

"Siapa yang larat kalau rumah dinaiki air setiap tahun? Situasi ini berlaku berulang kali dan saya sudah maklumkan pihak berkenaan, namun masih tiada jalan penyelesaian terbaik.

"Tiga tahun lalu, ada pihak beritahu nak buat ban tebatan banjir di parit BR4 tetapi sehingga kini masih tiada tindakan. Saya yakin kalau ada ban dapat membantu masalah ini selain pembersihan sungai dan parit.

"Kami bukan orang berada yang boleh pindah atau beli tanah lain untuk membina rumah baru. Justeru, saya berharap ada tindakan yang lebih efektif dalam menyelesaikan masalah yang akan berlaku setiap tahun," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Mariani di halaman rumahnya yang dinaiki air akibat hujan lebat berterusan di Kampung Padang Serai, Pantai Remis di Manjung. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Mariani di halaman rumahnya yang dinaiki air akibat hujan lebat berterusan di Kampung Padang Serai, Pantai Remis di Manjung. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI

Menurutnya, kediamannya dinaiki air sedalam 0.3 meter di halaman rumah, manakala di dalam rumah, air memasuki ruang dapurnya yang berada di kedudukan lebih rendah, sejak 1 November lalu.

Katanya, banjir kilat menjejaskan lima kediaman yang didakwa berlaku disebabkan limpahan air kerana hujan lebat berterusan serta tiada kerja penyelenggaraan di parit BR4 dan Sungai Beruas.

"Tiada pusat pemindahan dibuka kerana banjir ini tidak menjejaskan keseluruhan ruang rumah, ada yang naik di dapur atau tandas saja dan halaman rumah. Masalah saya, air bertakung lama (banjir termenung) dan air dalam rumah berwarna hitam, berbau busuk dan di belakang pula bercampur air limbah serta ada banyak jentik-jentik juga.

"Kalau ikutkan kelmarin air sudah surut dan kami sudah bersihkan rumah tetapi tidak sampai sejam kembali hujan lebat bermula petang membawa ke malam dan dapur mula dinaiki air, jam 8 malam.

"Penat mencuci belum hilang lagi, air sudah naik semula. Penat itu tak perlu cakaplah orang yang melaluinya mesti faham," katanya memberitahu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Baru, Datuk Abd Manaf Hashim hadir meninjau rumah mereka.

Sementara itu, Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris berkata, sebanyak 12 rumah dikenal pasti yang selalu dinaiki air dengan empat rumah berada di kawasan paling rendah dan air lambat surut di kawasan berkenaan.

"Kita sedia maklum mengenainya dan tindakan awal juga sudah dimaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Untuk penyelesaian jangka pendek pihak berkenaan akan membuat kerja penyelenggaraan di sungai dan parit.

"Bagi jangka panjang kita mencari penyelesaian menang-menang untuk semua rumah terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 9:56 AM