KEADAAN rumah Mariani yang dinaiki air susulan hujan lebat berterusan di Kampung Padang Serai, Pantai Remis. FOTO IHSAN PEMBACA
KEADAAN rumah Mariani yang dinaiki air susulan hujan lebat berterusan di Kampung Padang Serai, Pantai Remis. FOTO IHSAN PEMBACA
Noor Hidayah Tanzizi


“SUDAH dua minggu air naik di halaman rumah tetapi kami tak berpindah, Khamis lalu air sudah kering sepenuhnya tapi petang ini air naik semula,” kata Mariani Abdul Rani, 48.

Mariani antara salah seorang penduduk Kampung Padang Serai, Pantai Remis, yang bahagian dalam kediamannya sering dinaiki air apabila hujan lebat dan ia berlaku lagi malam tadi sebelum surut semula pagi ini.

Menurut Mariani, air kembali memenuhi halaman rumahnya 6 petang semalam selepas hujan lebat berterusan sejak jam 3 petang.

“Penat mengemas rumah kelmarin masih belum hilang dan petang semalam, air sudah naik semula dan dalam rumah air sudah paras buku lali dan di halaman pula sudah paras lutut.

“Setakat ini, kira-kira 10 rumah sahaja dinaiki air, namun hanya lima rumah sahaja yang bahagian dalamnya dimasuki air termasuk rumah saya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mariani berkata, banjir di kampung mereka tidak begitu teruk sehingga memaksa berpindah ke pusat pemindahan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Manjung juga sudah menghantar dua pam untuk mengepam air keluar ke sungai sejak dua minggu lalu.

“Pam air diletakkan di parit di belakang rumah saya dan beroperasi setiap hari bermula 9 pagi hingga 5 petang, jadi saya harap sangat operasinya dapat dilanjutkan sehingga malam berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

“Air malam tadi nampaknya lagi tinggi berbanding sebelum ini, namun kami berharap keadaan tidak menjadi semakin teruk sepanjang musim tengkujuh yang baru bermula ini, selain pasukan bomba, polis dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) juga sentiasa memantau kawasan kampung ini,” katanya.

Katanya, pada musim hujan sekarang ini dia dan penduduk kampung sudah menemui tiga ular sawa dan dua ular tedung yang sangat membimbangkan keselamatan mereka.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis, Shah Al Haffiz Mohd Redzuan, berkata pihaknya sentiasa membuat rondaan dan pemantauan di kampung berkenaan.

Katanya, ada beberapa kawasan rumah penduduk dinaiki air, namun setakat ini ia tidak membabitkan pemindahan penduduk.

“Bomba sentiasa berhubung dengan penghulu mukim Beruas dan Pengkalan Bharu untuk pemantauan lanjut di kawasan berkenaan dan kami juga sentiasa bersiap sedia sekiranya ada penduduk yang perlu berpindah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 3:36 PM