IMAM Masjid As Saadah Kampung Kuala Tebengau, Zainuddin Hassan (depan) dan jemaah masjid membacakan doa di pusara Allahyarham Muhammad Adib. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
IMAM Masjid As Saadah Kampung Kuala Tebengau, Zainuddin Hassan (depan) dan jemaah masjid membacakan doa di pusara Allahyarham Muhammad Adib. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


DUA tahun pemergian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, Masjid As-Saadah Kampung Tebengau, Alor Setar masih jadi kunjungan orang luar kariah untuk bersolat dan turut menziarahi pusara pemuda itu.

Bilal masjid, Bakri Awang, 57, berkata, kunjungan tidak putus sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, termasuk daripada orang yang tidak pernah mengenali arwah sebelum ini.

Katanya, bagi jemaah masjid sendiri, Muhammad Adib sentiasa dikenang dan dalam doa mereka terutama ketika Ramadan, apabila arwah kerap hadir untuk solat Tarawih dan solat berjemaah lain.

"Kami takkan lupakan arwah walaupun hampir dua tahun dia tiada, kenangan bersamanya tetap dalam ingatan.

"Malah ramai orang luar yang singgah ke masjid ini untuk solat, pasti akan menziarahi pusaranya, kunjungan itu tidak putus-putus sejak hari arwah dikebumikan.

"Cuma ketika PKP ini, tak ramai lah, hanya kami jemaah masjid tetap datang bacakan doa," katanya ketika ditemui.

Bakri berkata, sebagai tanda ingatan, pihak masjid bercadang menamakan kolah masjid itu, Kolah Muhammad Adib, yang mana pembinaannya turut mendapat dana sumbangan bapa arwah, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64.

"Selain kolah, mungkin kami akan membina papan tanda ke pusara Muhamad Adib sebagai petunjuk kepada orang ramai yang tidak tahu jalan ke sini," katanya.

Dalam pada itu, datuk saudara Muhammad Adib, Kassim Shaari, 70, berkata, dia sebak setiap kali melihat pusara arwah kerana anggota bomba terbabit rapat dengannya.

Akuinya, Muhammad Adib pandai mengambil hati orang tua dan anak yang baik.

"Terutama pada Ramadan, lagi teringatkan Adib, rasa macam arwah masih ada," katanya.

Dalam kejadian 27 November 2018, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul perusuh di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 9:49 AM