IKAN Arowana milik Muhammad Adib. FOTO Norrasyida Arshad
IKAN Arowana milik Muhammad Adib. FOTO Norrasyida Arshad
Syah Rul Aswari Abdullah; Sarah Zulkifli dan Suraya Roslan


IKAN Arowana milik anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang diambil di rumah sewa arwah kini menjadi ‘ahli keluarga’ Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, ikan daripada spesis mahal itu sebagai tanda ingatan dan kenangan manis JBPM Subang Jaya bersama Muhammad Adib.

“Kami memohon kebenaran ayah Muhammad Adib (Mohd Kassim Abdul Hamid) untuk mengambil ikan yang dibela arwah di rumah sewanya di Subang Jaya.

“Ikan berkenaan dipelihara dalam sebuah akuarium yang ditempatkan dalam Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.

“Ini sebagai kesinambungan kepada kenangan kami sepanjang bertugas bersama Muhammad Adib,” katanya ketika ditemui di JBPM Subang Jaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Shahril Anuar berkata, pihaknya mengambil ikan dari spesis termahal itu beberapa hari selepas Muhammad Adib menghembuskan nafas di Institut Jantung Negara (IJN).

“Ketika kami mengambil ikan ini ia hanya sebesar tapak tangan tapi kini ia sudah membesar.

“Pihak kami kini dalam proses membuat satu memorial bagi Muhammad Adib dengan menempatkan pakaian seragam serta topi keledar yang dipakainya sepanjang bertugas dengan bomba,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 5:18 PM