MUHAMMAD Ashraff hadir sebagai saksi ke-16 bagi inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria.
MUHAMMAD Ashraff hadir sebagai saksi ke-16 bagi inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


ANGGOTA bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, kerap kali menulis di papan putih nama tiga individu yang mahu ditemuinya sepanjang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, akhir tahun lalu.

Pembantu Pegawai Pembedahan di IJN, Muhammad Ashraff Baruji, 27, berkata individu itu adalah ibu, Asma Aziz, 51, bapa, Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, dan tunang Muhammad Adib, Nurul Najihah Mohd Radzi.

“Dia kerap menulis beberapa nama di papan putih dan meminta saya untuk memanggil ibu, bapa dan tunangnya.

“Adib ada tulis satu nama rakan baik dia, tapi saya tak pasti namanya," katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah pada hari ke-10 inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.

Saksi inkues ke-16 itu berkata, hubungannya dengan Muhammad Adib amat rapat dan mereka sering berkomunikasi memandangkan dia antara pasukan membantu penjagaan anggota bomba berkenaan.

HAMDAN: Beritahu mahkamah, bagaimana kamu berinteraksi dengan Adib? Hubungan kamu dengan dia?

ASHRAFF: Saya bercakap, tetapi Adib tak boleh bercakap. Saya berinteraksi dengan Adib dengan isyarat badan atau tulis di papan putih.

Saya banyak berikan kata-kata semangat kepada Adib semasa Adib di ICU (Unit Rawatan Rapi) untuk dia teruskan fisioterapi. Adakalanya saya dan Adib bertukar cerita. Saya ada tanya mengenai keluarganya, berkenaan tunang dan kerjaya.

HAMDAN: Apa maklum balas dia?

ASHRAFF: Dia boleh beri jawapan rasional kepada soalan saya. Saya banyak berkomunikasi dan beri kata-kata semangat. Ada kalanya, dia tunjukkan seperti tak mahu dengar cakap... tetapi saya memberi galakan kepadanya.

Ketika dia menulis di papan putih, Adib ada bertanya, 'berapa lama lagi dia akan berada di sini'. Kebanyakan komunikasi dengan papan putih dan anggota badan.

Adib ada beberapa kali minta jururawat di ICU untuk memanggil saya datang ke katil dia. Kebanyakannya untuk beritahu supaya panggil ibu bapa dia yang berada di luar ICU.

Saksi sama berkata, kali pertama, dia perasan Adib menulis di papan putih, dengan tangan kiri.

"Saya tanya Adib kidal? Dia angguk. Tetapi tulisan dia kadang-kadang boleh dibaca, kadang- kadang tidak," katanya.

Menjawab soalan lain diajukan Hamdan, Muhammad Ashraff berkata, jika Muhammad Adib mengangguk, ia bermakna ya dan jika anggota bomba itu menggelengkan kepala, ia bermaksud tidak.

"Kadang-kadang dia gunakan isyarat dengan tangan seperti 'time-out'. Maksudnya dia mahu berhenti atau isyarat dengan tangan maksudnya tidak ada," katanya.

Kakitangan IJN itu turut memberitahu mahkamah bahawa pada satu ketika, Muhammad Adib amat teruja ketika mereka bersama-sama menonton perlawanan bola sepak membabitkan pasukan Malaysia.

Bagaimanapun ketika menjawab soalan lain daripada Hamdan, saksi itu tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata apabila berkata, dia kesal apabila tidak dapat memenuhi permintaan Muhammad Adib yang mahu minum air buah.

"Saya cakap pada Adib, cepat sihat... Ashraff orang pertama yang akan belikan air buah untuk Adib, " katanya.

(Ketika ini, prosiding ditangguhkan selama lima minit bagi memberi saksi bertenang).

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansoor, Muhammad Ashraff berkata, dia hanya berpeluang untuk menziarahi pusara Adib pada hujung minggu selepas anggota bomba itu disemadikan di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, pada 18 Disember tahun lalu.

"Tujuan saya untuk finding closure (mencari pengakhiran). Saya bertemu ibu bapa Adib dan beri sokongan moral beritahu kami sudah mencuba yang terbaik," katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 7:08 PM