Mohamad Hussin


LEBIH 500 jemaah menunaikan solat hajat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini, bagi mendoakan keputusan inkues kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner, Shah Alam, esok.

Solat hajat itu disempurnakan sejurus selesai solat Isyak yang diimamkan Imam Kanan masjid berkenaan, Mohd Zamri Abd Halim.

Mohd Zamri ketika ditemui sejurus solat hajat berkata, ia diadakan bagi memohon petunjuk, rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT.

“Selain solat hajat untuk arwah Muhammad Adib, kita turut mengadakan untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Tidak lupa juga solat hajat bagi memulihkan jerebu yang melanda negara baru-baru ini,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Masridzi Sat berkata, pihaknya berharap agar keputusan itu berpihak kepada keluarga Muhammad Adib.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Gerakan Pembela Ummah berkata, pihaknya akan mengadakan perhimpunan aman di mahkamah berkenaan bagi menyatakan sokongan ke atas Allahyarham.

IMAM Kanan Masjid Wilayah Persekutuan, Mohd Zamri Abd Halim mengimamkan Solat Hajat bagi keputusan prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim esok di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur. FOTO Zulfadhli Zulkifli
IMAM Kanan Masjid Wilayah Persekutuan, Mohd Zamri Abd Halim mengimamkan Solat Hajat bagi keputusan prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim esok di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Pada 21 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan Mahkamah Koroner, Shah Alam, menetapkan 27 September (esok) sebagai tarikh keputusan inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib.

Koroner Rofiah Mohamad menetapkan tarikh itu selepas mendapati tiada apa-apa lagi bagi prosiding inkues ini untuk diteruskan.

Prosiding inkues itu dikendalikan Pengendali Faten Hadni Khairuddin.

Pada 24 Julai lalu, Rofiah menutup prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib selepas ia berjalan selama 41 hari.

Prosiding inkues berjalan bermula 11 Februari lalu dan seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar sudah dipanggil memberi keterangan.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 10:15 PM