GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


SEMBILAN remaja diambil keterangan bagi membantu siasatan rakaman video yang tular di media sosial berkaitan penderaan dan pengabaian kanak-kanak di sebuah rumah kebajikan di Selayang.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan dibuat wanita berusia 36 tahun.

Katanya, wanita itu sendiri merakam video berkenaan yang memaparkan penderaan dan penganiayaan terhadap kanak-kanak di rumah kebajikan terbabit.

"Difahamkan wanita itu pernah tinggal di rumah kebajikan berkenaan selama dua minggu. Dia mendakwa kanak-kanak di sana dipaksa membuat sampul duit raya dan dipukul menggunakan kayu jika enggan berbuat demikian.

"Tujuan wanita itu merakam video berkenaan adalah untuk ditunjukkan kepada ibu bapa kanak-kanak dan juga untuk dihantar kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Arifai berkata, pemilik rumah kebajikan iaitu wanita berusia 44 tahun juga ada membuat laporan selepas sekumpulan individu dipercayai daripada sebuah NGO menyerbu masuk ke rumah kebajikan berkenaan dan mengeluarkan kata-kata ugutan kira-kira jam 2 pagi semalam.

"Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan sembilan remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun manakala sembilan kanak-kanak berusia antara 5 hingga 12 tahun pula akan dihantar ke Child Interview Center (CIC).

"Mereka juga dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Seksyen 447/506 Kanun Keseksaan.

"Kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 8:04 PM