Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Tukang rumah dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan melakukan persetubuhan dan amang seksual terhadap anak perempuan tirinya antara Januari 2020 hingga minggu lalu.

Ketika prosiding, tertuduh yang juga seorang mualaf berusia 35 tahun mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan yang dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Norhayati Mohd Yunus dan Noor Aini Yusof.

Mengikut tiga pertuduhan di hadapan Hakim Norhayati tertuduh didakwa melakukan persetubuhan terhadap anak perempuan tirinya berusia 11 tahun 8 bulan di sebuah rumah di Bandar Perai Jaya, di sini antara Januari 2020 hingga 23 April tahun ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Sementara itu, bagi tiga lagi pertuduhan di hadapan Hakim Noor Aini, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman dan Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan kes akan disebut semula 30 Mei depan bagi menunggu laporan perubatan, laporan psikiatri dan laporan pusat temubual kanak-kanak (CIC).

Dalam pada itu, isteri tertuduh yang juga ibu kandung kepada kanak-kanak perempuan berkenaan turut didakwa atas pertuduhan mengabaikan anaknya sehingga menyebabkan kecederaan emosi.

Tertuduh berusia 40 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noorhayati.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan dalam tempoh dan tempat yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-dua sekali.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes akan disebut semula pada 31 Mei depan sementara menunggu laporan psikiatri mangsa.

Bagi kes ini juga tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

TUKANG rumah dan isterinya diiringi anggota polis di mahkamah hari ini. FOTO Danial Saad.
TUKANG rumah dan isterinya diiringi anggota polis di mahkamah hari ini. FOTO Danial Saad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 1:47 PM