Peter Gerard Scully, lelaki Australia dijatuhi hukuman penjara 129 tahun kerana melakukan penderaan seksual kanak-kanak. FOTO Agensi
Peter Gerard Scully, lelaki Australia dijatuhi hukuman penjara 129 tahun kerana melakukan penderaan seksual kanak-kanak. FOTO Agensi
Agensi

Manila: Filipina menjatuhkan hukuman penjara 129 tahun kepada seorang 'predator' yang juga lelaki Australia kerana melakukan penderaan seksual kanak-kanak.

Tertuduh, Peter Gerard Scully, yang sudah menjalani hukuman penjara seumur hidup atas pelbagai pertuduhan termasuk merogol dan memperdagangkan kanak-kanak perempuan, ini adalah sabitan kedua.

Portal The Independent melaporkan, Scully ditahan pada 2015 di Malaybalay di Filipina selepas melarikan diri dari Australia pada 2011.

Dia datang ke Filipina untuk melarikan diri daripada tuduhan penipuan di negara asalnya.

Dia kemudiannya menubuhkan perniagaan seks siber, merakam video gadis remaja daripada keluarga miskin ketika melakukan hubungan seks dengan mereka atau menggunakan alat mainan seks, kata penyiasat sebelum ini.

Pada 3 November, mahkamah Cagayan de Oro menjatuhkan hukuman itu selepas Scully dan tiga tertuduh bersamanya menandatangani perjanjian rundingan pengakuan.

Laporan mengatakan mereka didakwa atas 60 kesalahan, termasuk pemerdagangan, bahan eksploitasi kanak-kanak, penderaan kanak-kanak dan rogol.

Teman wanita Scully, Lovely Margallo, dijatuhi hukuman penjara 126 tahun.

Dua lagi dikenakan hukuman lebih sembilan tahun.

"Mereka semua mahu menutup fasa gelap kehidupan dan meneruskan hidup seperti biasa," kata kenyataan daripada keluarga mangsa, termasuk seorang kanak-kanak berusia 18 bulan dan seorang kanak-kanak yang mayatnya ditemui tertimbus di bawah lantai sebuah rumah yang disewa oleh Scully.

Merlynn Barola-Uy, seorang pendakwa wilayah di bandar selatan Cagayan de Oro berkata: "Ini adalah kemenangan besar, bukan sahaja untuk kami pendakwa di Jabatan Kehakiman, tetapi yang lebih penting ini adalah kemenangan besar bagi mangsa yang terselamat."

Pada 2016, pendakwa raya di Filipina menggesa supaya hukuman mati diperkenalkan semula sebagai hukuman untuk Scully.

Scully yang berusia 52 tahun dituduh mengarahkan video panas itu membabitkan aksi rogol dan penyeksaan serta menjualnya melalui web gelap.

Dia disiasat atas 75 pertuduhan termasuk dakwaan merogol seorang kanak-kanak berusia 18 bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 12:45 PM