GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menahan lapan individu termasuk tiga wanita bagi membantu siasatan rakaman video yang tular di media sosial berkaitan penderaan dan pengabaian kanak-kanak di sebuah rumah kebajikan di Selayang.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, semua individu berusia 18 hingga 65 tahun ditahan jam 9 malam semalam.

"Polis juga sudah mengambil keterangan seramai 36 saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Semua individu berkenaan direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 18 Mei bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Terdahulu, pada 6 Mei lalu polis mengambil keterangan sembilan remaja berhubung kes berkenaan susulan laporan polis yang dibuat seorang wanita berusia 36 tahun.

Video dirakam wanita berkenaan tular di media sosial sebelum pemilik video itu membut laporan polis.

Difahamkan tujuan wanita berkenaan merakam video bagi rujukan pihak berkuasa.

Video berkenaan yang memaparkan penderaan dan penganiayaan terhadap kanak-kanak di rumah kebajikan terbabit.

Wanita itu pernah tinggal di rumah kebajikan berkenaan selama dua minggu dan mendakwa kanak-kanak di sana dipaksa membuat sampul duit raya dan dipukul menggunakan kayu jika enggan berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 1:53 PM