PETUGAS KKM selesai melakukan proses saringan Covid-19 penduduk Menara City One. FOTO Saifullizan Tamadi
PETUGAS KKM selesai melakukan proses saringan Covid-19 penduduk Menara City One. FOTO Saifullizan Tamadi
Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


KESESAKAN penghuni ketika pemeriksaan Covid-19 di bangunan Menara Plaza City One menjadi perhatian Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti pelaksanaan yang boleh diambil bagi mengatasi kesesakan ketika ujian saringan dilakukan petugas kesihatan di kawasan itu.

"Apa yang penting bagi kita adalah melihat bagaimana kita dapat mengelakkan berlaku perhimpunan besar-besaran dan mempraktikkan jarak sosial.

"Oleh itu, kita bekerjasama dengan polis. Kemungkinan apa boleh dilakukan adalah kita tidak hanya melihat kepada keseluruhan blok tetapi melakukan pemeriksaan di setiap aras," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Bagi menjayakan pelaksanaan itu, Noor Hisham berkata, beliau sudah mengarahkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melakukan koordinasi dengan pelbagai pihak berkaitan.

Sebelum ini, penduduk mendakwa cara ujian saringan Covid-19 yang dijalankan KKM ke atas penduduk di bangunan itu tidak mengamalkan penjarakan sosial dan berlaku kesesakan di tempat pemeriksaan berkenaan.

Jarak sosial tidak dilakukan dan penduduk berdiri rapat antara satu sama lain dalam barisan panjang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 6:45 PM