KEADAAN bahagian beranda rumah panjang Long Atip yang dilanda banjir sejak awal pagi tadi. FOTO IHSAN JBPM
KEADAAN bahagian beranda rumah panjang Long Atip yang dilanda banjir sejak awal pagi tadi. FOTO IHSAN JBPM
Erika George


KIRA-kira 100 penduduk di Kampung Long Atip, Apoh, Baram berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan rumah panjang mereka yang dilanda banjir, sejak awal pagi tadi.

Kejadian banjir ini disebabkan hujan lebat yang melanda kawasan Hulu Baram sejak petang semalam hingga menyebabkan paras Sungai Baram meningkat sehingga menyebabkan rumah panjang terbabit dinaiki air sedalam 0.3 hingga 0.6 meter.

Menurut Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Law Poh Kiong, pihaknya menerima maklumat dari Bomba Komuniti Long Atip berhubung kejadian pada jam 6.15 pagi.

"Setakat ini, keadaan masih terkawal berikutan banjir belum lagi membabitkan urusan perpindahan, bagaimanapun JBPM Miridengan bantuan Bomba Komuniti Long Atip akan menjalankan pemantauan dari semasa ke masa untuk menghadapi sebarang kemungkinan, " katanya.

Difahamkan, air mulai melimpah masuk ke perkarangan kampung dan bahagian dalam rumah panjang sejak jam 3 pagi tadi.

Setakat jam 12 tengah hari ini tadi katanya, trend air menunjukkan peningkatan dan dibimbangi ia akan terus meningkat ekoran faktor air pasang pada waktu malam nanti.

"Kita turut difahamkan bahawa sebahagian penduduk masih lagi terkandas di Miri kerana Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan lagi sehingga 12 Mei ini nanti," katanya.

Dalam perkembangan sama, paras air di Long San turut dilaporkan meningkat yang mana penduduk turut berada dalam keadaan berjaga-jaga.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 3:13 PM