PEMANTAUAN keadaan banjir di Marudi. FOTO ihsan JPBN Sarawak
PEMANTAUAN keadaan banjir di Marudi. FOTO ihsan JPBN Sarawak
Mohd Roji Kawi


Kuching: Banjir yang melanda penempatan penduduk di kawasan hulu Baram dan pekan Marudi dalam bahagian Miri serta daerah Sebauh di Bintulu sejak Ahad lalu mula menunjukkan penurunan.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, pemantauan di beberapa kawasan lewat petang semalam mendapati paras air semakin menurun dan berada pada tahap selamat.

Menurutnya, kawasan tinjauan di hulu Baram ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tutoh Apoh, Kampung Long Panai, Klinik Kesihatan Long Panai dan Kampung Long Ukuk.

Katanya, tinjauan di pekan Marudi serta beberapa penempatan berdekatan antaranya Kampung Cina, Kampung Ridan, Kampung Dagang, Kampung Narum, Kampung Padang Kerbau dan pengkalan feri Marudi juga mendapati paras air semakin menurun.

"Paras air yang sebelum ini mencecah sehingga 0.5 meter menurun dengan perlahan.

"Semua jenis pengangkutan air masih boleh digunakan dan tidak menjejaskan rutin harian penduduk serta keadaan masih dalam terkawal dan selamat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, katanya, pemantauan turut dijalankan di kawasan Sebauh, Bintulu yang dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak tiga hari lalu iaitu Rumah Panjang Khairunissa, Rumah Panjang Jeffery Lasah, Sungai Pesu, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Balai dan SK Kebulu mendapati paras air bertahan pada ketinggian 0.6 meter.

"Tinjauan ke lokasi mendapati kawasan terbabit masih dinaiki air namun jalan masuk ke kawasan itu masih boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda.

"Sepanjang pemantauan dilakukan di lokasi kerap banjir iaitu di Rumah Khairunissa di naiki air setinggi 0.6 meter dan paras air dalam keadaan bertahan jika tiada hujan pada masa ini keadaan di lokasi dalam keadaan selamat dan terkawal," katanya sambil memaklumkan tiada pemindahan penduduk dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 2:15 PM