ANGGOTA bomba memantau kediaman penduduk yang terjejas banjir di Long Bemang. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba memantau kediaman penduduk yang terjejas banjir di Long Bemang. FOTO Ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi

Kuching: Seramai 530 penduduk Kampung Long Bemang di pedalaman Miri terjejas akibat banjir yang melanda sejak Ahad lalu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri berkata, laporan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Long Bemang pada 7.23 pagi hari ini memaklumkan paras air berada pada ketinggian 0.8 meter.

"Terdapat 100 kediaman penduduk yang terjejas di kampung itu dan pemantauan berterusan akan dijalankan.

"Berikutan paras air yang membimbangkan selepas banjir melanda pada 6 pagi Ahad lalu, bekalan elektrik di kampung itu ditutup bagi memastikan keselamatan penduduk," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, paras air ketika ni mula surut, namun masih hujan termasuk di hulu sungai.

Selain Long Bemang, beberapa penempatan lain di Sungai Tutoh dan Sungai Apoh di hulu Baram turut terjejas antaranya Kampung Long Panai dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tutoh Apoh.

"Bagi situasi di sekolah pula, guru yang bertugas melaporkan kelas pembelajaran untuk dua hari dibatalkan berikutan paras air masih tinggi.

"Bagaimanapun, sekolah akan dibuka semula selepas mendapati keselamatan semua pelajar terjamin manakala Klinik Kesihatan Long Bemang beroperasi seperti biasa," katanya memaklumkan tiada pemindahan penduduk dijalankan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 11:45 AM