KEBAKARAN yang memusnahkan satu blok rumah panjang Long Wat pada awal pagi hari ini. FOTO Ihsan JBPM
KEBAKARAN yang memusnahkan satu blok rumah panjang Long Wat pada awal pagi hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Erika George

Miri: Seramai 27 keluarga dari rumah panjang Long Wat di Apoh, Baram hilang tempat berteduh selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, awal pagi hari ini.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 1.33 pagi.

Menurutnya, pihaknya tidak dapat bergerak ke lokasi serta-merta disebabkan feri untuk ke lokasi hanya beroperasi bermula 6 pagi.

"Kebakaran berjaya dipadamkan oleh penghuni rumah panjang pada 2.30 pagi dengan sumber air terbuka.

"Setakat ini, pasukan BBP Marudi dalam perjalanan ke lokasi yang terletak jauh di hulu dengan menggunakan laluan balak yang mengambil masa empat hingga lima jam dari Bandaraya Miri," katanya.

Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

"Sebarang perkembangan berhubung kebakaran akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 4:15 PM