Keadaan Kampung Long Bemang yang dilanda banjir sejak empat hari lepas. FOTO ERIKA GEORGE
Keadaan Kampung Long Bemang yang dilanda banjir sejak empat hari lepas. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Miri: Kira-kira 600 penduduk di Kampung Long Bemang, dekat sini, berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan banjir yang melanda rumah panjang mereka sejak empat hari lalu.

Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pemantauan yang dijalankan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Long Bemang pada jam 8 pagi tadi mendapati paras air banjir semakin naik berikutan limpahan air dari Sungai Apoh.

"Difahamkan paras air yang berkedalaman antara 0.6 hingga 1 meter itu agak membimbangkan kerana faktor hujan lebat yang melanda kawasan terbabit sejak beberapa hari lalu," katanya.

Menurutnya, penduduk kampung yang terdiri daripada 100 keluarga itu berada dalam keadaan bersiap sedia dan akan dipindahkan sekiranya situasi banjir semakin buruk.

Katanya, kebanyakan penduduk berpindah ke tingkat atas rumah panjang disebabkan air sudah masuk ke bahagian tingkat bawah terutama bahagian ruai, ruang tamu dan dapur.

Beliau berkata, untuk keselamatan penduduk, bekalan elektrik turut dimatikan sementara bagi mengelakkan berlakunya kejadian litar pintas.

"Kita menjangkakan paras banjir akan semakin naik berikutan hujan masih turun di kawasan terbabit.

"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Marudi dengan bantuan PBS Long Bemang akan menjalankan pemeriksaan serta pemantauan bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk urusan perpindahan penduduk sekiranya situasi banjir semakin buruk," katanya.

Kampung Long Bemang antara kawasan yang dikategorikan sebagai sebuah penempatan di kawasan rendah di Baram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 2:39 PM