RAHMAN Mohd Yusoff (kiri) menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada 'Frontliner' di Masjid India Muslim Ipoh, Jalan Seenivasagam. Sebanyak 250 bekas yang akan diedarkan sekitar  Daerah Kinta ketika tinjauan. KHIS/SHARUL HAFIZ ZAM
RAHMAN Mohd Yusoff (kiri) menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada 'Frontliner' di Masjid India Muslim Ipoh, Jalan Seenivasagam. Sebanyak 250 bekas yang akan diedarkan sekitar Daerah Kinta ketika tinjauan. KHIS/SHARUL HAFIZ ZAM
Balqis Jazimah Zahari


MASJID India Muslim yang terletak di Ipoh sememangnya popular dengan menu istimewa bubur lambuk kambing setiap kali Ramadan menjelma.

Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak masjid masih mengekalkan tradisi sejak 100 tahun lalu dengan mengagihkan bubur lambuk berkenaan.

Pengerusi masjid berkenaan, Shaikh Mujibur Rahman Mohd Yusoff berkata, edaran 250 bungkusan bubur lambuk kambing kali ini berbeza kerana hanya diberikan kepada petugas kesihatan setiap hari berbanding kebiasaan.

"Tradisi sebelum ini harus diteruskan sekali gus dapat membantu petugas barisan hadapan kesihatan yang sibuk menguruskan dan merawat pesakit Covid-19.

"Ini sahaja dapat disumbang untuk membantu petugas barisan hadapan, kerana kami tidak dapat mengedarkan kepada orang ramai disebabkan PKP," katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, hari ini.

Menurutnya, mereka akan mula memasak bermula 8 pagi sebelum bubur lambuk berkenaan akan diedarkan kepada petugas barisan hadapan mulai 3 petang hingga 4 petang.

"Ini adalah normal baharu yang perlu kita sesuaikan dan Ramadan kali ini sama sekali berbeza bagi kita semua.

"Namun, kami cuba melakukan yang terbaik untuk mengedarkan bubur lambuk kambing ini kepada orang ramai," katanya.

Katanya, pada tahun sebelum ini masjid berkenaan mengedarkan kira-kira 500 bungkusan bubur lambuk kambing yang menggunakan antara enam hingga lapan kawah untuk memasaknya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 5:16 PM