Penduduk membuat persiapan pada Program Bubur Lambuk Perdana KPLB Bersama Titipan Kasih Harian Metro di Masjid Saiyidina ali. FOTO SAIFULIZAN TAMADI
Penduduk membuat persiapan pada Program Bubur Lambuk Perdana KPLB Bersama Titipan Kasih Harian Metro di Masjid Saiyidina ali. FOTO SAIFULIZAN TAMADI
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lipis: Orang ramai di sekitar Kampung Tempoyang, di sini, berpeluang merasai bubur lambuk turun-temurun Kampung Baru, antara menu istimewa sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Disediakan dengan rempah ratus dan daging segar, ia adalah juadah tradisi khusus dari Kampung Baru untuk dikongsi dengan orang ramai pada program berkenaan.

Seramai lima tukang masak dibawa khas dari Kampung Baru, Kuala Lumpur yang mengetuai proses penyediaan bubur lambuk dengan dibantu lebih 100 sukarelawan masjid, TKHM dan kakitangan KPLB.

Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga Taman Cheneras Jaya, Shukri Mat Yaacob berkata, dia bersyukur apabila berpeluang mendapatkan bungkusan bubur lambuk Kampung Baru yang diagihkan dalam program TKHM ini.

"Sebelum ini hanya dengar cerita orang saja mengenai keenakan bubur lambuk Kampung Baru, tapi kali ini Harian Metro bersama KPLB membawanya ke sini untuk orang Kuala Lipis rasa.

"Saya berterima kasih di atas perkongsian rezeki ini. Saya juga gembira apabila program ini diadakan di sini kerana dapat mengeratkan hubungan komuniti dan kariah masjid," katanya ketika ditemui pada program Penyediaan Bubur Lambuk Perdana TKHM bersama KPLB di Masjid Sayidina Ali Bin Abi Talib di sini, hari ini.

Sebelum itu, program dirasmikan Timbalan Menteri I KPLB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Sebanyak 4,000 bekas bubur lambuk diedarkan kepada penduduk, jemaah masjid dan surau, petugas barisan hadapan, pelajar tahfiz serta sekolah sekitar Kampung Tempoyang di sini, sebagai juadah berbuka puasa.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Taman Pertama, Datuk Mohd Nazri Rafar turut berterima kasih kepada pihak penganjur yang memilih daerah ini sebagai lokasi berkongsi rezeki.

"Alhamdulillah program dianjurkan ini bersesuaian dan bertepatan semasa kita berada dalam bulan Ramadan.

"Malah pengagihan bubur lambuk yang didatangkan khas dari Kampung Baru yang kita tahu terkenal dengan tradisi setiap kali Ramadan, menambah kegembiraan penduduk setempat," katanya.

Bagi Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan, Shahnam Abd Rashid berkata, ini kali pertama pihaknya terbabit dalam program pengagihan bubur lambuk.

Katanya, seramai 10 pelajar turut terbabit sebagai sukarelawan dan berharap program sedemikian dapat diteruskan selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 2:22 PM