SUKARELAWAN Takaful Ikhlas bergambar kenangan bersama Zaharudin,  Rodzila, Muhammad Fikri, Dr Nazirah di Surau Ad-Deeniah, PPUM. FOTO Ihsan Takaful Ikhlas
SUKARELAWAN Takaful Ikhlas bergambar kenangan bersama Zaharudin, Rodzila, Muhammad Fikri, Dr Nazirah di Surau Ad-Deeniah, PPUM. FOTO Ihsan Takaful Ikhlas
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful Ikhlas) menghulurkan sumbangan barangan keperluan kepada 200 keluarga mualaf di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka melalui program 'IKHLAS Barakah Box' bersempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Program dianjurkan anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB) itu dengan kerjasama Takaful Ikhlas dan Persatuan Inspirasi Mualaf bagi menyuntik keceriaan kepada golongan memerlukan.

Program itu juga satu daripada aktiviti di bawah 'Ikhlas Barakah House' iaitu inisiatif pengumpulan dana patuh syariah bertujuan menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat melalui bantuan kewangan selain aktiviti merangkumi pembabitan masyarakat dengan lima fokus utama iaitu pemerkasaan bidang pendidikan, ekonomi, masyarakat, kesihatan serta alam sekitar.

Selain itu, Takaful Ikhlas baru-baru ini turut berkongsi rezeki dengan petugas barisan hadapan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan orang awam melalui penyediaan serta pengagihan lebih 2,500 bungkusan bubur lambuk bagi memeriahkan sambutan Ramadan.

Penyerahan sumbangan bubur lambuk disempurnakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Zaharudin Daud, Pengarah PPUM Prof Dr Nazirah Hassan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad Datuk Rodzila Che Lamin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad Muhammad Fikri Mohamad Rawi.

Aktiviti pengagihan bubur lambuk itu adalah inisiatif Takaful Ikhlas menghargai mereka yang bekerja keras setiap hari untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan pesakit.

Dalam pada itu, Takaful Ikhlas menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membantu menjayakan program yang dianjurkan masjid berkenaan sepanjang Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 8:44 PM