GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


ENAM individu termasuk dua warga emas ditahan selepas didapati bermain judi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah bilik di Jalan Raja Uda, Butterworth, semalam.

Serbuan dilakukan pada 5 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara selepas menerima maklumat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 51 hingga 78 tahun.

Katanya, serbuan Op Limau dan Op Dadu dijalankan selepas mendapat maklumat dan kesemua mereka yang ditahan bukan sahaja bermain judi, tetapi mengingkari PKP.

“Polis merampas 52 keping cip pelbagai warna, sebuah meja, enam kerusi plastik, sekeping kertas putih terdapat catitan angka, 32 keping peralatan perjudian jenis ceki dan sejumlah wang tunai.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, polis menahan seramai 27 individu berusia 20 hingga 60 tahun kerana mengingkari PKP.

Penahanan dibuat ketika polis mengadakan rondaan kedua di kawasan sama, namun masih ramai berdegil dan tidak mengendahkan nasihat serta arahan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 1:57 PM