Seramai 21 individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berhimpun dan bermain judi ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Impian Murni, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan PDRM
Seramai 21 individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berhimpun dan bermain judi ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Impian Murni, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Polis menahan 21 individu termasuk dua beranak yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila bermain judi di sebuah rumah di Taman Impian Murni, di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM32,213 dan peralatan bermain judi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, serbuan dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah selepas memperoleh maklumat berhubung kegiatan berkenaan.

"Semua yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki dan lima wanita warga tempatan berusia antara 21 hingga 41 tahun yang asyik bermain judi di ruang tamu rumah berkenaan hingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

"Siasatan mendapati rumah itu adalah milik seorang wanita berusia 49 tahun yang mana penganjur aktiviti itu adalah anak lelakinya berusia 23 tahun yang memanggil rakan-rakannya berjudi memandangkan masih dalam suasana Tahun Baharu Cina.

"Semua mereka dikenakan kompaun RM1,000 dan ditahan untuk siasatan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar PKP.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 1:12 PM