TUJUH suspek leka bermain judi dalam semak di Kampung Kubang Ikan dekat Kampung Raja, Besut ditahan polis kira-kira jam empat petang semalam. FOTO ihsan PDRM
TUJUH suspek leka bermain judi dalam semak di Kampung Kubang Ikan dekat Kampung Raja, Besut ditahan polis kira-kira jam empat petang semalam. FOTO ihsan PDRM
Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Tujuh lelaki ditahan selepas didapati berjudi dalam kawasan semak di Kampung Kubang Ikan, dekat Kampung Raja di sini, semalam.

Dalam serbuan pada 4 petang itu, mereka juga didapati melanggar syarat-syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, suspek berusia antara 44 hingga 61 tahun itu ditahan ketika sedang leka berjudi di atas meja kayu.

"Antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu adalah 52 keping daun terup warna merah dan putih serta wang tunai berjumlah RM1,739.

"Hasil siasatan terhadap mereka, kesemua suspek mengaku berjudi di kawasan itu sejak dua minggu lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka kemudiannya dikompaun sebanyak RM1,500 seorang kerana melanggar syarat PKP mengikut Peraturan 16, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021.

Katanya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 3:47 PM