POLIS merampas daun terup dan kad domino dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian. FOTO JUWAN RIDUAN
POLIS merampas daun terup dan kad domino dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian. FOTO JUWAN RIDUAN
Hazsyah Abdul Rahman


LAPAN pelajar sekolah antara 14 kaki judi yang ditahan dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Teck Guan di sini, Sabtu lalu.

Mereka ditahan dalam Op Covid-19 yang dilakukan kira-kira jam 10 malam susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, mereka yang ditahan berusia 14 hingga 48 tahun.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan mereka leka berjudi daun terup.

"Jelas perbuatan mereka berjudi itu turut melanggar PKP," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, sepanjang tempoh bermula 24 April hingga semalam, seramai 20 individu ditahan kerana ingkar PKP.

Nasri berkata, secara keseluruhan individu yang diberkas dalam tempoh itu terdiri daripada mereka yanng bekerja sebagai pembantu kedai, peniaga, penjual ikan, buruh ladang dan penjual rokok.

"Antara alasan diberikan jumpa kawan, jumpa sepupu dan juga tangkapan kerana menjual rokok seludup yang melambung tinggi ketika ini.

"Dalam pada itu, terdapat juga suspek yang diberkas ketika berburu," katanya.

Katanya, semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawalan Tempat Jangkitan) (No.3) 2020," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 4:55 PM