Mohd Izhar menyampaikan bantuan wang tunai dan barang keperluan asas kepada Noradilah di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru hari ini. Foto Ihsan Pejabat Exco
Mohd Izhar menyampaikan bantuan wang tunai dan barang keperluan asas kepada Noradilah di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru hari ini. Foto Ihsan Pejabat Exco
Mohamed Farid Noh

KERAJAAN negeri akan membantu dan membimbing Noradilah Rani dan enam anaknya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru untuk memulakan perniagaan sebagai mata pencarian keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Ushawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Izhar Ahmad berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan di pekarangan pangsapuri didiami keluarga berkenaan di Kampung Bakar Batu hari ini.

“Saya melawat ibu tunggal berusia 33 tahun berkenaan bersama keluarganya bagi menyampaikan ucapan takziah kerajaan negeri di samping menyampaikan bantuan wang tunai RM1,000 selain barang keperluan asas.

“Dalam pertemuan itu juga, Noradilah memaklumkan dirinya berminat memulakan perniagaan bakeri dari rumah namun kekurangan modal.

“Kita akan membantu dan membimbing Noradilah mencapai impiannya itu sekali gus membolehkannya menjadikan minatnya itu sebagai punca rezeki keluarga.

“Buat permulaan, kerajaan negeri sedang dalam usaha mendapatkan bantuan peralatan dan diikuti geran bantuan bagi membolehkan Noradilah mempunyai modal menjayakan perniagaannya,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, NSTP melaporkan Ramadan yang bakal tiba minggu depan tidak lagi seceria dulu bagi Noradilah dan enam anaknya berikutan sebelum ini walaupun hidup dalam keadaan serba sederhana, suaminya sentiasa ada di sisi untuk menyediakan segala keperluan.

Bagaimanapun, pada 17 Mac lalu, suaminya, Mohammad Yusof Haron, 34, meninggal dunia selepas disahkan positif Covid-19 dan dirawat selama seminggu di Hospital Permai, Johor Bharu.

Jenazah Mohammad Yusof, mangsa kes 178 pandemik wabak itu selamat dikebumikan di perkuburan Jalan Surau kampung berkenaan.

Arwah disahkan positif pada 13 Mac dan punca jangkitan dikatakan pernah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling.

Enam anak Noradilah masih kecil iaitu Muhammad Danish Sulaiman,11; Nurul Huda, 10; Nurul Aisyah Sakinah, 7; Muhammad Usman, 5; Nurul Najwa Humairah, 3, dan Muhammmad Luqman, 8 bulan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 5:13 PM