SAADAN menunjukkan surat yang dihantar kepada Menteri Ka Siong pada 25 Januari. FOTO IHSAN PEMBACA
SAADAN menunjukkan surat yang dihantar kepada Menteri Ka Siong pada 25 Januari. FOTO IHSAN PEMBACA
Noorazura Abdul Rahman


Yan: Lebih 1,000 pemandu bas ekspres merayu kerajaan dapat menyalurkan bantuan khas kepada mereka akibat kehilangan sumber pendapatan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Presiden Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) Saadan Man berkata, pihaknya kecewa selepas nama ahli persatuan itu tercicir dalam senarai penerima pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

"Ramai pemandu bas ekspres langsung tidak menerima gaji sehingga terpaksa melakukan pelbagai kerja termasuk kerja kampung demi mencari rezeki untuk keluarga.

"Justeru, kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian bantuan dan PPBSM akan menyediakan senarai pemandu yang layak," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya juga sudah menghantar surat kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengenai isu keciciran bantuan Permai pada 25 Januari lalu.

Sementara itu, pemandu bas ekspres, Mohammed Anis Hamid, 57, berkata dia runsing memikirkan nasib diri dan keluarga apabila terpaksa mencari sumber pendapatan lain sejak bayaran gajinya terjejas kerana pandemik Covid-19.

"Saya terpaksa melakukan apa sahaja kerja yang termampu untuk terus menyara keluarga. Ketika ini saya banyak melakukan kerja kampung selain menjadi pengawal keselamatan secara sambilan.

"Sekiranya dapat bantuan Permai itu dapat juga meringankan sedikit beban kami, boleh juga buat modal berniaga kecil-kecilan," katanya.

Bagi Mohammed Mohammad Ibrahim, 50, tidak semua syarikat bas ekspres menawarkan gaji pokok kepada pemandu, sebaliknya ada yang dibayar mengikut jumlah perjalanan.

"Ini bermaksud apabila bas jalan baru pemandu ada elaun, tetapi sejak pandemik Covid-19 kebanyakan syarikat sudah mengurangkan jumlah perjalanan kerana tidak ada penumpang.

"Secara tidak langsung kami sebagai pemandu terkesan sama seperti pemandu bas persiaran dan bas pelancong yang tiada penumpang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 2:41 PM