ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Bangi membantu membersihkan Balai Raya Kampung Bangi yang ditenggelami banjir berpunca dari air Sungai Bangi yang melimpah akibat hujan lebat ketika tinjauan pasca banjir di Kampung Bangi Tambahan, Bangi, semalam. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Bangi membantu membersihkan Balai Raya Kampung Bangi yang ditenggelami banjir berpunca dari air Sungai Bangi yang melimpah akibat hujan lebat ketika tinjauan pasca banjir di Kampung Bangi Tambahan, Bangi, semalam. FOTO Aizuddin Saad
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Selangor mencatatkan sedikit peningkatan apabila merekodkan seramai 685 mangsa di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan jumlah itu membabitkan 174 keluarga.

"Daerah yang paling terjejas adalah Sepang dengan 498 mangsa banjir daripada 132 keluarga.

"Seramai 256 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil, manakala 104 mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali.

"Selain itu, Dewan MPKK Kampung Jenderam Hilir juga dibuka sebagai PPS yang menempatkan 89 mangsa dan 49 lagi mangsa ditempatkan di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang," katanya.

Menurutnya, dua PPS dibuka di daerah Hulu Langat iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi dan SK Semenyih yang menempatkan 87 mangsa banjir daripada 20 keluarga.

"Seramai 83 mangsa ditempatkan di SK Bangi, manakala empat mangsa dipindahkan ke SK Semenyih.

"Di daerah Hulu Selangor pula, satu PPS dibuka iaitu di Dewan Komuniti Taman Desa Hulu Yan Bharu yang menempatkan 13 mangsa membabitkan dua keluarga," katanya.

Katanya, di daerah Petaling juga satu PPS dibuka di Dewan Serbaguna Camelia MBSJ, Putra Height membabitkan 68 mangsa daripada 14 keluarga.

"Satu lagi PPS dibuka di daerah Gombak di Dewan Seroja Kampung Bendahara membabitkan lima mangsa daripada tiga keluarga.

"Di daerah Kuala Langat, satu PPS dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang membabitkan 14 mangsa daripada tiga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 9:38 AM