PENDUDUK yang terjejas akibat banjir di daerah Hulu Langat ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi. FOTO BERNAMA
PENDUDUK yang terjejas akibat banjir di daerah Hulu Langat ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 603 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa daerah di Selangor, sehingga 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan jumlah itu membabitkan 162 keluarga.

"Daerah yang paling terjejas adalah Sepang dengan 477 mangsa banjir daripada 133 keluarga.

"Seramai 231 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil, manakala 108 mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali.

"Selain itu, Dewan MPKK Kampung Jenderam Hilir juga dibuka sebagai PPS yang menempatkan 89 mangsa dan 49 lagi mangsa ditempatkan di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang," katanya.

Menurutnya, dua PPS dibuka di daerah Hulu Langat iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi dan SK Semenyih yang menempatkan 96 mangsa banjir daripada 23 keluarga.

"Seramai 87 mangsa ditempatkan di SK Bangi, manakala sembilan mangsa dipindahkan ke SK Semenyih.

"Di daerah Hulu Selangor pula, satu PPS dibuka iaitu di Dewan Komuniti Taman Desa Hulu Yan Bharu yang menempatkan 15 mangsa membabitkan tiga keluarga," katanya.

Katanya, di daerah Petaling juga, satu PPS dibuka di Dewan Serbaguna Camelia MBSJ, Putra Heights membabitkan 10 mangsa daripada tiga keluarga.

"Satu lagi PPS dibuka di daerah Gombak di Dewan Seroja Kampung Bendahara membabitkan lima mangsa daripada tiga keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 10:01 AM