NORADILAH bersama anaknya. FOTO arkib NSTP
NORADILAH bersama anaknya. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: "Saya sentiasa berdoa wabak Covid-19 berakhir di negara kita dan seluruh dunia supaya kita semua dapat menjalani kehidupan seperti dulu," kata Noradilah Rani, 33, yang kematian suami akibat Covid-19.

Noradilah berkata, selepas kematian suaminya, Mohammad Yusof Haron pada 17 Mac tahun lalu, tanggungjawab membesarkan enam anak berusia setahun hingga 11 tahun digalas sepenuhnya.

Suri rumah itu berkata, dia seperti menerima tamparan hebat apabila suaminya meninggal dunia akibat dijangkiti wabak itu.

Katanya, selain suaminya, dia bersama empat anak turut dijangkiti wabak itu namun mereka kembali pulih selepas dikuarantin selama lebih dua minggu.

Dia kini berniaga ayam gunting dan minuman secara kecil-kecilan di Jalan Antoi, Kampung Melayu Majidee di sini, sejak Jun lalu, juga mahu bangkit bersama semangat baharu bagi membesarkan enam anaknya.

"Walaupun terasa perit kerana kini perlu menjadi nadi keluarga, saya akan terus berusaha meningkatkan pendapatan keluarga dengan sedikit bakat memasak yang dikurniakan Allah.

"Saya tidak menjangka wabak ini akan berlarutan sehingga genap setahun hari ini dengan kehidupan kita sudah berubah mengikut norma baharu sepanjang masa.

"Selain berniaga ayam gunting dan minuman secara kecilan, saya juga akan mula menghasilkan biskut dan roti bagi jualan sebagai menambah pendapatan.

"Alhamdulillah, kerajaan Johor ada menyumbang ketuhar serta pembancuh kuih dan roti bagi saya memulakan perniagaan membuat kuih dan roti.

"Saya juga bersyukur kerana permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang dibuat sudah diluluskan bagi menambah pendapatan perbelanjaan membesarkan anak-anaknya," katanya ketika dihubungi.

Pada 17 Mac lalu, suami Noradilah, Mohammad Yusof, 34, meninggal dunia selepas disahkan positif Covid-19 dan dirawat selama seminggu di Hospital Permai, Johor Bharu.

Mohammad Yusof adalah pesakit Covid-19 pertama meninggal dunia di Johor dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jalan Surau, Kampung Dato' Hajah Hasanah, di sini.

Sementara itu, Noradilah turut berharap masyarakat patuh pada prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama pemakaian pelitup muka.

Katanya, sebagai bekas mangsa yang pernah dijangkiti Covid-19 bersama empat anaknya, pengalaman mengajarnya erti kesabaran selain memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

"Saya masih fobia dengan wabak ini dan cukup menjaga anak-anak supaya tidak keluar rumah tanpa pemantauan atau sesuka hati.

"Masyarakat juga perlu sentiasa patuh arahan SOP dan pihak berkuasa supaya wabak ini berjaya dihapuskan, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 6:08 PM