LEE Chong Chern(dua dari kiri) ketika mengadakan sidang media di IPD Kota Samarahan. FOTO NORSYAZWANI NASRI
LEE Chong Chern(dua dari kiri) ketika mengadakan sidang media di IPD Kota Samarahan. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


DAERAH Samarahan, Sarawak mencatat 97 peratus kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Samarahan,Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, kebanyakan mereka yang ditahan dalam sekatan jalan raya yang dilakukan berhampiran jambatan Sungai Kuap adalah mereka yang keluar bekerja.

“Daerah Samarahan adalah laluan utama penduduk ke bandar raya Kuching setiap hari.

“Kebanyakan mereka yang diperiksa mempunyai surat kebenaran keluar bekerja terutama di sektor perkilangan di Sama Jaya dan perkhidmatan perlu,ini menjadi penyumbang utama kesesakan lalu dari Kota Samarahan ke bandaraya Kuching setiap hari ini,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di IPD Samarahan di sini, petang ini.

Lee berkata, secara keseluruhannya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Samarahan melakukan sebanyak 145 tangkapan dan kompaun sejak PKP dimulakan pada 18 Mac.

“Semalam kita melakukan tangkapan 19 individu yang ingkar PKP di daerah ini.Tangkapan pertama dilakukan di Taman Unigarden pada 5.40 petang, membabitkan enam individu lelaki dalam lingkungan umur 19 hingga 23 tahun.

“Semua suspek ditangkap kerana berkumpul dan melakukan aktiviti sukan tanpa sebab yang munasabah,”katanya.

Menurutnya, tangkapan kedua dilakukan pada 6.10 petang di Taman Merdang Gayam membabitkan lima orang suspek lelaki dalam lingkungan umur 13 sehingga 34 tahun kerana berkumpul tanpa sebab yang munasabah.

“Lapan lagi yang terdiri lima lelaki dan tiga perempuan ditangkap di tempat berasingankerana turut ingkar PKP.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan sedang dijalankan ke atas 19 suspek, kesemua suspek akan dituduh di mahkamah apabila siasatan selesai dijalankan dalam masa terdekat,”katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut membuat penguatkuasaan di Bank Simpanan Nasional (BSN) Kota Samarahan semasa pembayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bermula semalam dengan memastikan orang ramai mematuhi penjarakan sosial semasa melakukan urusan di bank.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 6:19 PM