PETUGAS keselamatan melakukan sekatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Mohammad Shahril Badri Saali
PETUGAS keselamatan melakukan sekatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Mohammad Shahril Badri Saali
Mohd Roji Kawi


POLIS Sarawak terus bertindak tegas terhadap individu yang sengaja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus menyaksikan jumlah yang dikenakan kompaun semakin meningkat.

Dalam tempoh 24 jam mulai jam 8 pagi semalam hingga jam 8 pagi ini sahaja, seramai 110 orang dikompaun.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, Kuching merekodkan jumlah paling ramai yang dikompaun iaitu 22 orang, diikuti Sibu (20), Sarikei (11), Kota Samarahan (9), Betong (9), Miri (7), Bau (6),Padawan (5), Kapit (4), Simunjan (3), Bintulu (2), Serian (2), Matu Daro (2), Song (2), Marudi (2), Kanowit (2) dan Lawas (2).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan orang yang dikenakan kompaun di Sarawak sejak 18 Mac adalah seramai 374 orang.

“Mereka yang dikompaun RM1,000 perlu membuat pembayaran di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh 14 hari dari tarikh dikeluarkan bagi mengelak diambil tindakan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, seramai 13 individu ditangkap kerana ingkar PKP dalam tempoh 24 jam semalam hingga pagi ini.

Mukah mencatatkan jumlah tangkapan tiga orang, diikuti Limbang (2), Sri Aman (2) manakala Kuching, Padawan, Sibu, Kota Samarahan, Bau dan Matu Daro masing-masing satu tangkapan.

“Tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan yang ditangkap kerana ingkar PKP sejak 18 Mac adalah seramai 586 orang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 11:35 AM