KESESAKAN yang berlaku ketika sekatan jalan raya yang dilakukan PDRM dibantu oleh ATM. FOTO Hairul Anuar Rahim
KESESAKAN yang berlaku ketika sekatan jalan raya yang dilakukan PDRM dibantu oleh ATM. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Roji Kawi


SELEPAS seminggu berlembut dengan lebih banyak mengeluarkan kompaun kepada mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), polis kini kembali dengan tindakan lebih tegas dalam fasa ketiga.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, mulai hari ini pihaknya akan meningkatkan tangkapan dan mengheret pesalah ke mahkamah.

“Memasuki fasa tiga PKP, polis akan mengurangkan tindakan kompaun sebaliknya akan meningkatkan tangkapan seperti yang dilaksanakan dalam PKP fasa satu.

“Polis akan tangkap dan tuduh di mahkamah dan mereka yang terbabit boleh dijatuhkan hukuman penjara dan atau denda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dev berkata, walaupun kadar pematuhan PKP di negeri ini tinggi, masih ada segelintir yang degil dan keluar rumah tanpa alasan munasabah.

Dalam tempoh 24 jam mulai jam 8 pagi semalam hingga 8 pagi hari ini, seramai 222 individu dikenakan kompaun RM1,000.

Dalam tempoh sama, seramai 26 orang ditangkap atas kesalahan PKP yang dilaksanakan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Beliau berkata, Sibu mencatatkan seramai 32 orang dikompaun; Kuching (31); Kota Samarahan dan Bintulu, masing-masing (28); Serian (25); Saratok (17) dan Bau (16).

Miri, Padawan dan Lundu masing-masing dengan lapan orang, Betong, Sarikei dan Lawas, masing-masing (5), Lubok Antu (2); manakala Limbang, Marudi, Simunjan dan Matu-Daro masing-masing satu.

“Mereka yang ditangkap pula, Miri seramai 15 orang; Kota Samarahan tujuh orang, Kuching dua orang manakala Limbang dan Padawan masing-masing seorang,” katanya.

Katanya lagi, jumlah kompaun yang dikeluarkan sejak 18 Mac adalah sebanyak 733 manakala jumlah tangkapan sejak tarikh sama berjumlah 633 orang.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 10:27 AM