FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi


PENINGKATAN pemeriksaan mengejut oleh anggota polis menyumbang pertambahan jumlah individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditangkap dalam tempoh 24 jam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, seramai dengan 141 individu degil itu ditahan antara jam 8 pagi semalam hingga 8 pagi tadi.

Dev berkata, tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditangkap kerana ingkar PKP sejak 18 Mac adalah seramai 1,235 orang.

Katanya, daripada 141 tangkapan itu, Kuching mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 45 orang diikuti Padawan (22), Miri (18), Mukah (6) manakala Kota Samarahan, Sarikei dan Limbang masing-masing (5).

“Sibu (4) Saratok (4), Meradong (4), Serian (3), Betong (3), Kapit (3), Bintulu (2), Bau (2), Lubok Antu (2), Simunjan (2), Belaga (2), Dalat (2), Sri Aman (1) dan Julau (1).

“Kesemua mereka yang ditangkap mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, polis akan terus meningkatkan pemeriksaan mengejut dan sekatan jalan raya bagi mengesan mereka yang ingkar PKP.

“Kadar pematuhan PKP di Sarawak adalah tinggi, namun ada segelintir yang keluar tanpa sebab yang munasabah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 12:44 PM