Pihak berkuasa Thailand menutup pintu pagar sempadan Thailand yang hanya beroperasi empat jam sehari dan dibuka kepada 50 warga Thailand. FOTO  Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Pihak berkuasa Thailand menutup pintu pagar sempadan Thailand yang hanya beroperasi empat jam sehari dan dibuka kepada 50 warga Thailand. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PINTU sempadan di Wang Kelian, Padang Besar-Wang Prachan, Thailand hanya akan dibuka selama empat jam khusus kepada 50 orang warga Thailand sahaja sehari untuk kembali ke negara mereka bermula hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padang Besar Deputi Superintendan Shahrim Azhar berkata, pintu sempadan akan dibuka bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari setiap hari hingga ke satu tarikh yang dimaklumkan kemudian.

Menurutnya, pihaknya bersama agensi penguatkuasaan lain hanya membenarkan warga Thailand yang menetap di Perlis dan Pulau Langkawi, Kedah melalui pintu sempadan berkenaan.

“Setakat 12.45 tengah hari ini, hanya 23 orang sahaja yang melaluinya manakala selebihnya kita tidak dimaklumkan oleh pihak kedutaan Thailand mahupun Konsulat Thailand di Pulau Pinang.

“Sekiranya nama mereka (warga Thailand) tiada didaftarkan dalam rekod kedutaan Thailand, mereka tidak dibenarkan masuk ke negara itu.

“Sebaiknya warga Thailand yang mahu pulang sila rujuk terlebih dahulu dengan pihak kedutaan,” katanya ketika ditemui di Wang Kelian hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrim berkata, pihaknya tidak dimaklumkan tempoh masa pelaksanaan proses penghantaran pulang rakyat negara itu akan dijalankan antara kedua buah negara.

“Bagaimanapun, mereka diingatkan untuk mematuhi syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang berada di Kompleks Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin (ICQS) selama proses itu berlangsung.

“Mereka akan disaring terlebih dahulu di Thailand selain dibenarkan masuk selepas memiliki kesemua dokumen yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di Thailand,” katanya.

Mulai hari ini, empat pintu sempadan Thailand-Malaysia dibuka semula dan dijangka lebih 8,000 warga Thailand yang terkandas di Malaysia akan pulang secara berperingkat ke kampung halaman masing-masing.

Antara yang terkandas sejak 23 Mac lalu, berikutan kesemua sembilan pintu sempadan Thailand-Malaysia ditutup termasuk pekerja kedai makan, nelayan, penoreh getah, pekerja ladang sawit, pelajar dan mereka yang melawat saudara di Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 2:39 PM